Thursday, April 20, 2006

Kisah Apek di Era

Setiap 7.30 dan 8.30 pagi, dari Isnin sampai Jumaat, Saiful Apek muncul di radio Era. Seronoklah juga dengar celoteh dia, walau pun merapu. Siapa yang berada dalam kereta terutamanya yang tersanggup dalam kesesakan boleh lah juga tersenyum. Teman boleh terima merapu Apek kerana dia memang seorang pelawak. Tapi, teman tak dapat kawal nak muntah kalau dengar orang yang sepatutnya serius tapi cuba nak buat lawak. Tak kena tu....

Wednesday, April 19, 2006

Siapa berbalah, siapa yang bertepuk tangan?

Isu jambatan JB-Singapura dah kian panas. Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disambut dengan begitu meriah. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun tidak dapat lari daripada memberi penjelasan. Sokongan kepada keputusan Kabinet berhubung isu jambatan itu pun dah lebih daripada mencukupi. Teman rasa, eloklah polimik ini diberhentikan segera kerana tidak ada siapa yang untung. Teman takut, kita bertelagah, orang lain yang bertepuk tangan. Kita anggaplah keputusan itu, ibarat angin yang berlalu.

Monday, April 17, 2006

Ke mana semua menteri bila Dr M bersuara?

Bila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap mengenai bantahannya terhadap pembatalan pembinaan jambatan bengkok Johor Bahru-Singapura, tidak ramai orang yang bercakap mengenainya. Setelah Dr Mahathir bercakap mengenai isu itu hanya Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Shahrir Abdul Samad yang memberi reaksi, itu pun mengenai referandum. Keesokannya, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula membuat ulasan spontan mengenai kenyataan Dr Mahathir pada hari yang sama. Memang teman tidak suka kepada pertengkaran mulut ini, tetapi teman ingin bertanya di mana menteri-menteri lain?. Adakah mereka hanya mahu menjadi pemerhati atau memang tidak mahu campur perbalahan mengenai isu Singapura ini. Bukan apa, kalau tidak bercakap langsung boleh menggambarkan pendirian masing-masing. Terpulanglah.

Sunday, April 16, 2006

Apa matlamat Fiesta Media Idola 06?


Fiesta Media Idola 06 selama tiga hari berakhir di Kuantan, malam tadi. Dalam tv, teman tengok ramai artis dan orang media berkumpul. Ada yang terlompat-lompat, terkinja-kinja, bercakap entah apa ke bendenya, merapu tak tentu pasal dan macam-macam lagi telatah yang dapat dilihat. Teman kesian tengok begitu ramai orang dalam stadium, yang kebanyakannya, malah berani teman katakan, hampir semua mereka adalah orang Melayu. Teman tengoklah juga mereka bersukan tapi takkan lah liputan begitu meluas sekali hinggakan dah tidak ada perkara lagi yang lebih penting dari itu. Teman nak tanya sikit, apa matlamat fiesta itu? Apa faedahnya kepada masyarakat, bangsa, negara dan agama?

Saturday, April 15, 2006

Bila polis trafik lambat sampai?

Tugas polis trafik penting, melainkan jika anggota-anggotanya menganggap sebaliknya. Kalau tidak ada mereka, keadaan jalan raya terutamanya di Kuala Lumpur ni, kelam kabut. Tugas penting mereka bermula pada sebelah pagi untuk melicinkan perjalanan orang ramai untuk ke pejabat. Lebih awal daripada itu, mereka ditugaskan untuk melicinkan perjalanan orang ramai yang menghantar anak-anak ke sekolah. Segala-galanya perlu diuruskan sebelum jam 7.30 pagi. Tapi, kalau mereka sampai di tempat yang ditetapkan seperti bulatan, lampu isyarat dan simpang-simpang tertentu lebih pada jam 7.30 pagi, elok balik tidur saja lah. Dah tidak guna lagi sebab sumpah seranah sudah pun bergantang dikeluarkan oleh pemandu-pemandu. Kalau mereka sepatutnya berada di kawasan itu pada jam 6.30 pagi, eloklah berada pada tempat itu tepat pada masanya, bukan sejam kemudian. Polis trafik perlulah "time sensitive". Tak elok kalau orang ramai marah sebab ia melibatkan nama jabatan dan kerajaan. Teman tidak mahu bagi tempat yang spesifik sering berlaku perkara ini tetapi eloklah pihak polis trafik siasat sendiri. Memang banyak kali berlaku tu.....
RTM juara memaklumatkan rakyat

Teman sedih menonton televisyen kebelakangan ini. Sebenarnya, bukan baru-baru ini saja, dah lama dah. Selain stesen RTM, teman tidak nampak ada stesen lain yang memikirkan soal kepentingan rakyat. Kalau operator stesen TV lain memikirkan sedikit soal rakyat pun, ia hanyalah kerana mereka mendapat faedah daripadanya termasuk tajaan. Program yang bercorak ilmu, kalau ada pun sebagai syarat saja. Mula-mula buatlah perbincangan mengenai perkara yang mempunyai pengetahuan, lepas itu, melencong ke isu hiburan. Dah banyak macam tu. Sekarang teman melihat "iklan" menarik mengenai Sarawak diselitkan di tengah-tengah rancangan dan komersial melalui RTM. Kita fahamlah maksudnya tu tetapi stesen lain tak buat apa-apa pun. Tunggu signal ke?

Friday, April 14, 2006

ZAM lawan NSTP

Bila Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Mydin (Zam) melawat NSTP, editor utama akhbar itu tidak hadir berikutan perselisihan faham sesama mereka.

Siapa Zam?

Zam adalah Menteri Penerangan Malaysia yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Ini bermakna beliau adalah ahli Parlimen kawasan Merbok, Kedah, yang layak bercakap mengenai soal rakyat dan negara. Beliau adalah salah seorang pemimpin Umno, parti yang menjadi tulang belakang kepada parti-parti dalam Barisan Nasional (BN). Boleh bercakap mengenai apa saja dan dilaporkan oleh media. Power tu.

Siapa Editor Utama NSTP?

Wartawan yang dibayar gaji oleh syarikat ke tahap pengurusan. Bila dinaikkan pangkat ke jawatan editor mungkin dijadikan pekerja kontrak dari setahun ke setahun. NSTP adalah syarikat yang secara tidak langsung Umno mempunyai kepentingan. Boleh menerbit atau tidak menerbitkan berita-berita mengenai sesiapa saja.

Thursday, April 13, 2006

Zainuddin Mydin di NSTP

Teman baca dalam Agenda Daily mengenai lawatan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Mydin ke New Straits Times Press (NSTP) atas kedudukannya sebagai menteri. Agenda Daily kata lawatan Zainuddin Mydin atau dikenali sebagai Zam agak pelek sebab beberapa kepemimpinan kanan akhbar itu, tidak hadir. Mungkin mereka ada hal lain dan terlalu sibuk agaknya, mungkin juga ketiadaan mereka disengajakan. Itu kena tanya mereka sendiri walaupun mereka dikatakan sudah ada temujanji dengan menteri lain. Yang pasti, hubungan mereka agak tegang berikutan beberapa kenyataan Zam sebelum ini sama ada di akhbar atau di laman-laman web. Teman baca juga akhbar terbitan kumpulan (NSTP) dan selalu nampak gambar editor-editor mereka dalam majlis dan acara yang melibatkan akhbar mereka sama ada di pejabat NSTP atau pun di tempat lain. Teman pernah nampak ketua-ketua editor mereka bergambar dengan artis-artis seperti Fasha Sanda, Mawi, Marsha dan artis terkenal lain. Mereka mungkin tidak mahu menghampakan golongan artis ini, agaknya lah.
Jambatan: Malaysia-Singapura tutup buku.

Khamis, 13 April 2006:

Eloklah, pembinaan jambatan menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dibatalkan terus. Lepas ini kedua-dua negara tidak perlulah bercerita pasal jambatan itu lagi. Sekarang, Malaysia boleh kata mereka menang kerana lebih mementingkan pandangan rakyat. Singapura pula boleh kata mereka menang kerana dapat menggagalkan projek jambatan itu. Jadi, teman rasa bagi yang tidak arif, elok lah tidak membincangkan perkara itu. Nak bincang kena tahu undang-undang kena tahu hubungan antarabangsa dan sains politik sikit sebanyak. Jangan lah bincang isu ini mendatar saja seperti yang dibaca dalam akhbar-akhbar di Malaysia. Lidah pengarang akhbar, alamak, tak ada kelas lah. Pokok perbincangan mereka terlalu cetek lah.

Wednesday, April 12, 2006

Melayu Buta Warna

Dalam iklan di radio, teman nak tergelak bila dengar suami isteri bertegang urat sebab kereta mereka dikatakan hilang. Si isteri membebel kerana kereta dia yang berwarna perak dikatakan hilang. Suaminya kata kereta mereka yang berwarna perak itu tidak hilang tetapi isteri dia kata kereta itu bukan warna perak tetapi hijau. Teman rasa tak sesuai betul lah iklan itu sebab takkan si isteri itu tidak dapat membezakan antara warna hijau dan perak. Lagi pun, kereta itu tidak ada nombor ke?

Tuesday, April 11, 2006

Ahli Parlimen guna bahasa kasar

Rabu, 12 April : Utusan Malaysia mendapatkan reaksi pelbagai pihak mengenai penggunaan bahasa kasar di Parlimen. Teman setuju kalau ada pihak yang mempertikaikan sikap ahli Parlimen yang tidak dapat mengawal emosi. Marah macam mana sekali pun, mereka tidak wajar menggunakan bahawa kasar. Kata nak jadi pemimpin. Pemimpin adalah golongan yang boleh diteladani. Kalau nak marah dan menggunakan bahasa yang tidak sedap didengar, pergi lah berbincang di kedai kopi saja. Di restoran pun orang kena ada disiplin., tak boleh buat bising tak tentu pasal. Kalau Parlimen nak dijadikan macam tawar menawar di pasar, elok jangan jangan masuk ketika orang berbincang. Masuk waktu orang tak ada sajalah sebab boleh bercakap sendiri. Tak kisah, parti mana yang mereka wakili, kalau cakap tidak mengikut sopan dan etika, wajar dibedal saja.
Membandingkan P Ramlee, Sudirman dan M Nasir

Rabu, 12 April 2006.

Pagi ini, teman mendengar Radio Hot FM yang mengajak pendengar berdebat mengenai Siapa yang lebih hebat - Allahyarham P Ramlee atau Allahyarham Sudirman Hj Arshad atau M Nasir. Dua orang yang sudah tiada cuba dibandingkan dengan seorang lagi yang masih aktif dalam bidang seni. Macam-macam pandangan yang didengar. Tak payahlah nak cerita lagi sebab memanglah topik begini mudah sangat nak dibincangkan. Kalau telefon, suara kita dapat didengar ramai. Kalau hantar sms, syarikat telekom memang galakkan. Apa pun, susah untuk mencari keadilan dalam perbincangan topik ini. Kalau yang menelefon dan menghantar sms dari golongan dulu, tentulah mereka memilih P Ramlee manakala kalau mereka hidup di zaman hari ini, tentulah mereka memilih M Nasir sebab mereka tidak kenal pun P Ramlee. Sudirman masuk lain kategori kerana dia sebenarnya penghibur. Yang jelas, nama P Ramlee masih dikenang hingga hari ini dan kita perlu setuju bahawa P Ramlee adalah legenda. M Nasir pun rasanya tidak suka perbandingan begini kerana tidak adil baginya untuk bersaing dengan P Ramlee.
Kehebatan artis Melayu

Dulu teman minat dengar lagu, tapi sekarang ni, dah tidak sedap dengar lagu yang iramanya agak tidak keruan. Untuk tidak bagi orang marah, eloklah teman katakan, mungkin teman dah mula berusia kut. Itulah sebabnya lagu yang dicipta hari ini, tidak lagi menepati cita rasa teman. Lagu rap dan hip-hop untuk orang muda sebab dia agak aggresif. Teman suka lagu keroncong yang mendayu-dayu, tentulah ibarat langit dan bumi dengan lagu-lagu kegilaan remaja hari ini. Apa pun perbincangan mengenai lagu, ia bukan sekadar seni tetapi kita harus kaitkan dengan budaya rakyat. Kalau nak tiru Barat, bukan tidak boleh, tapi janganlah kita meniru lagu saja. Kita juga kena tiru kepandaian mereka. Kalau benda buruk kita tiru tetapi benda baik kita abaikan, bermakna kita ni tidak bijak. Tiru pakai topi terbalik kita tahu, tiru pakai seluar senteng sebelah pun kita pandai, tiru lagu macam orang bercakap, itu senang saja, bezanya hanyalah bahasa - bahasa orang puteh dengan bahasa Melayu. Tapi orang Melayu lebih sikit sebab dia boleh nyanyi dalam bahasa Melayu tetapi irama lagu Arab. Itu satu kelebihan lah kut. orang puteh rap ikut muzik orang puteh, tapi orang Melayu boleh buat semua. Artis Melayu memang hebat tu beb. kalau yang rasa tidak setuju dengan pandangan teman ni, eloklah komen sikit. Teman suka kalau ada orang yang nak komen mengenai muzik kita ni.
Datanglah ke Nilai 3

Hari ini 10 April 2006, teman pergi ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk berjalan-jalan. Teman dah lama tinggal di KL tapi tak pernah pergi ke Nilai 3. Ramai yang bercerita mengenai keasyikan bershopping di tempat itu. Emak dan adik-adik teman dari Perak, sudah pun pergi ke Nilai 3 tu, tetapi teman dari KL tak pernah pergi ke situ lagi. Jadi bagi mengelakkan teman terus tidak tahu mengenai Nilai 3, teman mengambil kesempatan pergi ke tempat itu. Teman agak terkejut kerana tempat itu memang menarik perhatian teman. Kawasan pasar borong di situ bukan saja luas tetapi menjadi tarikan ramai. Banyak kenderaan yang teman tengok keluar-masuk ke kawasan pasar borong itu. Dulu yang teman tahu pasar borong adalah tempat jual sayur, tapi sekarang pasar borong juga menjual segala macam keperluan dari pakaian higgalah kepada perabot. Jadi, kalau ada masa jangan lupa datang ke Nilai 3. Kalau orang dari Utara, Timur dan Selatan pun sanggup datang dengan bas rombongan ke Nilai 3, malu kalau orang di KL tak pernah menjejakkan kaki ke Nilai 3. Teman bukan nak promote Nilai 3, tetapi ia menarik untuk dikunjungi. Bak kata MAA, Semua Ada. Siapa yang pernah pergi bolehlah bagi komen sikit mengenai apa yang ada di sana. Teman tunggu komen anda.
Salam perkenalan untuk semua. Teman nak mula bercerita mengenai banyak perkara sama ada di dalam dan luar negara. Teman bukan nak mengata orang atau nak buat benda yang tidak baik. Niat teman hanya nak bagi idea. Itu pun kalau boleh diterima. Kalau tidak, mi-ke (awak) baca masuk ikut telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Apa pun, dirahrapkan ramai yang dapat faedah daripada cerita atau bahan-bahan yang akan teman siarkan dalam blog ini. Dari tajuk blog ini saja, rasanya ramai yang tahu dari mana teman datang. Tentulah teman berasal dari Perak. 'Ape kome' bermakna Apa Dah Jadi. 'Kome' juga bermaksud kamu atau lebih daripada seorang. Jadi kalau nak dikaitkan tajuk Apekome dengan tujuan blog ini dipaparkan, teman tidak dapat jawab buat masa ini kerana, teman pun tak pasti apa yang akan teman siarkan nanti. Cuma, teman rasa seronok nak berkongsi pandangan mengenai banyak perkara. Begitu juga teman mengalu-alukan pandangan dari siapa juga kalau sudi nak menulis dalam blog teman ni. Kalau kome nak tulis, eloklah tulis perkara yang ada fakta. Tapi, kalau nak buat lawak pun OK juga. Teman tak kisah, asalkan laman ini menjadi popular satu hari nanti. OK, nak komen, boleh mulai sekarang.