Wednesday, October 04, 2006

LKY terus dihentam

Jemaah Menteri kesal kerana Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengulangi kenyataan asal yang bersifat perkauman dan langsung tidak menggambarkan kekesalan terhadap kritikannya mengenai masyarakat Cina di negara ini.Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Kabinet berpendapat Lee hanya memohon maaf kerana menyebabkan Perdana Menteri tidak selesa dengan kenyataannya dan bukan atas kritikan yang dibuat sebelum ini."Perdana Menteri menyatakan beliau menolak pendapat Lee mengenai masyarakat Cina di negara ini. Lee pula menyatakan beliau mahu hubungan dua hala yang baik. Kita berharap Lee menterjemah hasratnya dalam bentuk tindakan," katanya ketika dihubungi.Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula berkata Kabinet sebulat suara menyokong kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri.Katanya, Kabinet tidak mahu membuat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian Abdullah."Kita menyokong kenyataan Perdana Menteri supaya pendirian kita konsisten kerana kenyataan yang terbaik ialah yang dibuat oleh Datuk Seri Abdullah sendiri," katanya.Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Perdana Menteri menjelaskan kepada Kabinet mengenai maklum balasnya terhadap kenyataan Lee."Kabinet memperakui penjelasan Perdana Menteri dan bersetuju tidak ada perkataan maaf yang diluahkan Lee dalam suratnya."Oleh itu, Kabinet bersetuju Perdana Menteri tidak memberi kenyataan lagi berhubung isu itu," katanya.Isnin lalu, Lee dalam suratnya kepada Abdullah yang turut diedarkan kepada media, menyatakan kesal atas ketidakselesaan Perdana Menteri berikutan kenyataannya bahawa masyarakat Cina Malaysia dipinggirkan secara sistematik.Lee, 83, juga menjelaskan beliau tidak berniat mencampuri politik Malaysia dan beliau tidak mempunyai kuasa mempengaruhi atau menghasut orang Cina Malaysia. Surat itu dibuat sebagai membalas surat Abdullah minggu lalu yang meminta Menteri Mentor Singapura itu menjelaskan mengenai kenyataannya bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk berdasarkan cara mereka melayan masyarakat Cina.Abdullah dalam reaksi terhadap surat itu, bagaimanapun menolak alasan Lee kerana kenyataan seumpama itu boleh menghasut perasaan perkauman.Perdana Menteri menegaskan kenyataan Lee pada 15 September lalu itu tidak sepatutnya diutarakan dan berharap perkara itu tidak diulang.